TEKS PENGACARA MAJLIS
MAJLIS PERKAHWINAN
NOOR FARIHA BINTI HAJI BADRI & SAHRUL HAFIZIE BIN MOHD SATAR
DI DEWAN SERI TANJUNG, IPG KAMPUS IPOH, PERAK.
28 MEI 2011
PENGERUSI MAJLIS : ISMAIL ANAS BIN MOHD NORDIN
MOHD ADAM AKMAL BIN CHE MANSOR
ANAS :Sirih junjung berhias indah,
Sekacip pinang pembuka kata,
Bunga manggar kilau bercahaya,
Datang berkunjung ke majlis meriah,
Sejarah terukir nilai permata,
Lembaran sejarah kini bermula.
(KOMPANG DIMAINKAN) – 8 Minit
ADAM :Diiringi paluan kompang, sama cantik dan sama padan, beriringan masuk ke dalam dewan, pasangan pengantin yang segak lagi bergaya, yang cantik lagi menawan, pasangan Raja sehari ,NOOR FARIHA BINTI HAJI BADRI DAN SAHRUL HAFIZIE BIN MOHD SATAR
(Pengantin diarak menuju ke meja makan utama)
ADAM :Anak Cina memasang lukah
Lukah dipasang di Tanjung Selasih
Pasangan pengantin segak melangkah
Mara menuju mahligai kasih
ANAS :Dari Raub pergi ke Pontian
Terus pula ke Kuala Perlis
Harap semua berikan perhatian
Mohon saya mulakan majlis
ANAS :BismilLahir Rahmanir Rahim
Assalamu `Alaikum W.B.T.
Allah swt berfirman di dalam surah Al-Rum ayat 21:
Maksudnya :
Dan di antara membuktikan kekuasaannya dan rahmatNya, bahawa Dia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya dan dijadikanNya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan - keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi tanda-tanda yang orang-orang yang berfikir.
ADAM :Hari ini menugal jagung
Hari esok memintal tali
Hari ini kita berkampung
Meraikan mempelai dua sejoli
ANAS :Di malam hari terang senegeri
Memberi cahaya di tengah balai
Majlis indah bertambah seri
Untuk meraikan kedua mempelai
Yang berbahagia,…………………………………
Yang dihormati ……………………………………selaku tuan rumah
Yang diraikan, pasangan mempelai………………………………………………
Yang dihormati ahli keluarga, saudara-mara, bekas-bekas guru, teman sekerja dan rakan-rakan kedua-dua mempelai, hadirin dan hadirat para tetamu yang diRahmati Allah S.W.T. sekalian.
Selamat datang, ahlan wasalan diucapkan ke Majlis Perkahwinan yang penuh bersejarah
NOOR FARIHA BINTI HAJI BADRI & SAHRUL HAFIZIE BIN MOHD SATAR
ADAM :Melayang serindit di atas permatang
Merbah berkicau di hujung muara
Pemanis kata selamat datang
Awal BismilLah pembuka bicara
Burung Nuri hinggap di balai
Balai seri buatan Pak Tua (nada rendah ke tinggi)
Tempat berehat rakan dan taulan
Duduk tersenyum kedua mempelai
Menadah tangan memanjatkan doa
Moga jodoh sentiasa berkekalan
Hadirin sekalian, sebelum meneruskan majlis kita pada hari ini, marilah bersama-sama kita menitipkan bacaan Al-Fatihah kepada Allahyarham Haji Badri Bin Saidi, ayahanda kepada pengantin perempuan, Noor Fariha Binti Haji Badri yang telah kembali ke rahmatullah. Al-Fatihah
Bagi memohon majlis perkahwinan kita pada hari ini diBerkati dan diRahmati Allah SWT, marilah sama-sama kita menadah tangan mengaminkan bacaan doa yang akan dibacakan oleh oleh Al-Fadil Ustaz
......................................................
(BACAAN DOA – 5MINIT)
ANAS :Terima kasih diucapkan kepada Al Fadil Ustaz……………………………………… ………di atas bacaan doa sebentar tadi.
Orang jauh dikenang-kenang
Hanya terkenang pada yang satu
Mula berkenalan kemudian bertunang
Akad dilaksana sama bersatu
ADAM :Anak Cina mengail patin
Mengail patin di tepi titi
Senyum terukir pasangan pengantin
Tanda gembira penuh di hati
Menyingkap bibit-bibit perkenalan pasangan pengantin ini, mereka mula berkenalan ketika …………………………………………………………………….. Perkenalan yang tidak disengajakan itu, akhirnya memutikkan rasa cinta di dalam hati kedua-dua pasangan ini.
Setelah mengenal hati budi masing-masing dan mendapat restu keluarga, mereka mengikat tali pertunangan pada _________________. Dan pada hari yang penuh bermakna ini, janji sepakat yang telah dibuat telah ditunaikan di dalam Majlis yang penuh berbahagia ini.
ANAS :Puan dibawa ke Gunung Ledang
Dibawa dengan penuh beradab
Pinggan mangkuk telah terhidang
Kini masa makan beradab
Majlis diteruskan dengan acara kemuncak kita pada hari ini iaitu majlis makan beradab. Dengan rasa hormatnya, saya menjemput pasangan pengantin dan ahli keluarga untuk bersama - sama ke meja yang disediakan bagi menikmati hidangan.
ADAM :Semerbak bunga seroja
Dibelai dara pingitan
Lauk pauk penuh semeja
Jemput mempelai menikmati hidangan
Bagi hadirin / hadirat yang dirahmati sekalian, janganlah malu janganlah segan untuk sama – sama menikmati juadah enak yang disediakan. Bagi tetamu yang baru tiba, saya mengalu – alukan kehadiran tuan tuan dan puan puan ke majlis yang bersejarah ini.
SELANG MASA SEMINIT
ANAS :Bagi mengisi ruang dan waktu ketika ini, marilah kita sama – sama menonton persembahan layar yang telah disediakan.
SLIDESHOW DITAYANGKAN
10 MINIT
SLIDESHOW TAMAT
ANAS :Demikianlah tadi, persembahan layar yang memuatkan gambar – gambar pasangan mempelai yang kita raikan ini dari zaman kanak – kanak sehinggalah mereka dewasa dan seterusnya menjadi suami dan isteri.
ADAM :Untuk menambahkan lagi seri majlis perkahwinan kita pada hari ini, majlis diteruskan lagi dengan persembahan nasyid dari kumpulan …………………….. …Untuk makluman hadirn dan hadirat sekalian, ahli kumpulan nasyid ini terdiri daripada mahasiswa unit pengajian agama IPG Kampus Ipoh. Mereka akan mendendangkan dua buah lagu iaitu………………………………………………………dan juga …………………………………..
Majlis dengan segala hormatnya menjemput.
ANAS : Majlis mengucapkan terima kasih kepada kumpulan nasyid…………………………………….. di atas persembahan yang cukup menarik sebentar tadi
Tak molek jika ada alu tiada lesungnya
Tak berguna jika ada dayung tiada perahunya
Tak lengkaplah Majlis jika tidak ada yang berbicara
Dengan itu, Majlis ingin mempersilakan wakil tuan rumah, ……………………………………………… untuk ke pentas bagi menyampaikan sepatah dua kata ucapan bersempena dengan majlis perkahwinan kita pada hari ini. Majlis dengan segala hormatnya mempersilakan.
PENGANTIN BERUCAP
5MINIT
ADAM :Terima kasih diucapkan kepada wakil tuan rumah, ……………………………………………yang turut mewakili seluruh ahli keluarga di atas sepatah bicara yang telah disampaikan sebentar tadi.
Sesungguhnya manusia itu sememangnya memerlukan kepada cinta. Kerana cinta itu, menjadikan hidup manusia lebih bermakna, bahagia dan sempurna apatah lagi melalui ikatan perkahwinan yang dituntut agama.
Tiup serunai di atas kota
Uda memupuk bunga melati
Mula kenal kemudian bercinta
Cinta tersemai di dalam hati
ANAS :Inilah yang dikatakan, umpama belayar telah sampai di pelabuhan
Umpama berkayuh telah sampai di muara
Umpama berjalan telah sampai di destinasi
Tiada untaian kata yang mampu dilafazkan selain ungkapan rasa syukur dan ucapan terima kasih yang tulus ikhlas daripada Raja Sehari dan ahli keluarga buat semua, atas kesudian hadir dan memeriahkan Majlis kita pada hari yang penuh keberkatan ini.
ADAM :Tanam laguna tumbuh kelapa
Terbit bunga pucuknya mati
Budi semua tak kami lupa
Sudah terpaku di dalam hati
ANAS :Tuan puteri tersenyum-senyum
Melihat laksamana bermain rodat
Senyum-senyum jangan tak senyum
Sudah sempurna segala adat
ADAM :Ayam dara dibuat gulai
Bungkus bekalan letak di bucu
Riang gembira kedua mempelai
Semoga berkekalan ke anak cucu
ANAS :Pergi ke dusun memetik kelapa
Kelapa muda si kelapa barli
Jari disusun maaf dipinta
Panjang usia bersua kembali
Sebelum saya mengakhiri majlis kita pada hari ini, saya ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan jutaan terima kasih kepada hadirin dan hadirat yang sudi hadir bagi memeriahkan majlis perkahwinan pada hari ini dan juga saya memohon seribu di atas kesilapan bicara dan segala kekurangan semasa mengacarakan Majlis ini. Semoga kita dapat berjumpa lagi pada masa yang akan datang.
Sekian,
Wabillahitaufiq walhidayah wassalamualaikum WBT.